TEAM BUILDING

on .

Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) telah mengadakan satu program semangat bekerja berpasukan atau dikenali sebagai “team building” yang bertemakan #scimpaseronok baru-baru ini. Program yang bertempat di Mat Leon Village dan Taman Negara ini melibatkan seluruh kakitangan akademik, bakat dan pentadbiran SCIMPA. Program tersebut bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara semua kakitangan pelbagai latarbelakang di SCIMPA di samping membentuk budaya kerja berpasukan yang mantap selain menambahkan lagi ilmu pengetahuan dan pengalaman berkenaan dengan kepimpinan.

Pengisian taklimat tentang Taman Negara serta kisah hidup penuh pancaroba oleh Mat Leon, pengusaha Mat Leon Village telah membuka tirai program ini. Pengisian akademik oleh Prof. Madya Dr. Kamarudzaman Isa @ Md.Isa dan Dr. Basharudin Abdul Hadi berkisar tentang penyelidikan kreatif serta kemahiran berfikir di luar kotak. Turut diadakan adalah pelbagai aktiviti lasak seperti Kayaking, Rapid Boat, Menaiki Bukit Teresek, Merentas Lata Berkoh, Mengenali Perkampungan Orang Asli dan Night Walk. Program ini berakhir dengan sesi muhasabah beserta BBQ.

Pengurus Unit Creative Arts & Commercial Event (CACE) yang merangkap Pengarah Program, Prof. Madya Dr Adzrool Idzwan berkata, “Kami memilih tema #scimpaseronok kerana ia selari dengan budaya kerja di SCIMPA. Walaupun kita sentiasa berdepan dengan situasi yang mencabar, kerjasama yang erat dan kesabaran yang tinggi akan dapat menghasilkan budaya seronok bekerja. Saya sangat bersyukur kerana program ini berjalan dengan dan berharap agar ia dapat menjadi program tahunan SCIMPA selepas ini.”

Dekan SCIMPA, Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin dalam ucapan penutup berkata, “Kesemua aktiviti yang dilakukan memerlukan ketahanan minda, mental dan fizikal yang tinggi di samping melatih kakitangan untuk tidak mudah berputus asa dalam melakukan sesuatu tugasan yang diberikan. Dalam banyak keadaan, semua perlu bersatu hati, berfikir di luar kotak serta mencari idea yang kreatif agar tugasan dapat dilaksanakan dengan sempurna dan betul. Diharap program seperti ini dapat melahirkan rasa kekeluargaan serta keserakanan di kalangan peserta.”

Penaja utama program ini adalah Mat Leon Village yang mana pengasasnya adalah anak jati Pahang yang mengusahakan pakej penginapan dan pengembaraan ke tempat-tempat menarik di Taman Negara dengan harga yang berpatutan. Taman Negara telah digazetkan sebagai hutan simpan seluas 4343 km persegi dan menyimpan khazanah hidupan liar sejak lebih 130 juta tahun.

Source: https://www.facebook.com/scimpauum/photos/a.1691091581220000/2225543131108173/?type=3&theater