64 KELUARGA DI KEMBOJA TERIMA SUMBANGAN PAM AIR

on .

Kemboja - Demi kasih sesama saudara Islam meskipun berbeza negara, Kelab Ukhuwwah Pusat Islam dengan kerjasama Kelab Kebajikan UUMIT (KKUUMIT) telah menghulurkan sumbangan berjumlah RM19,200 berupa pam air untuk kegunaan penduduk Kampung Tol Cham Phlu, Battambang. Pegawai Hal Ehwal Islam, Mohd Yusnaidi Md Sabri berkata, jumlah tersebut melibatkan 64 pam air agar penduduk kampung berkenaan mendapat bekalan air bersih untuk keperluan seharian.

Menurutnya, mereka menerima sambutan yang amat baik daripada warga kampus yang menghulurkan sumbangan untuk wakaf yang diletakkan di atas penama individu, keluarga, kumpulan rakan-rakan dan tidak ketinggalan penama untuk arwah.

Katanya, sumbangan itu pastinya telah mengukir senyuman di wajah penduduk kampung yang menerima pam ini, sekali gus membantu mereka mendapatkan bekalan air bersih.

“Kutipan projek wakaf pam air yang dilancarkan pada Februari lalu terpaksa ditangguhkan penyerahannya berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

“Dalam keadaan sekarang, kita tidak dapat merentas negara ekoran pandemik tersebut, justeru Mat Rozad yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mosa telah dilantik sebagai urusetia bagi melancarkan pengagihan sumbangan pam air,” katanya.

Mohd Yusnaidi berkata, seramai 64 keluarga telah menerima pam air itu yang disempurnakan Penasihat kepada Kementerian Penerangan Kemboja merangkap Presiden Pusat Media Muslim, H.E Sles Nazy.

Menurutnya, sebanyak 64 sijil juga dihantar secara softcopy yang memaparkan nama penyumbang dicetak sebagai simbolik penyerahan dan penerimaan kepada semua keluarga penerima.

Sementara itu, Ustaz Mosa berkata, penduduk di sini dibelenggu kemiskinan, tiada kemudahan asas seperti elektrik, makanan, air bersih, taraf pendidikan rendah serta terdapat 250 keluarga Muslim terpaksa menggunakan air hujan melalui sumber telaga.

“Saya dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti keluarga susah yang layak menerima bantuan serta menguruskan pembelian pam, paip termasuk pemasangan berharga RM300.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada UUM dan rakyat Malaysia yang  prihatin dan banyak membantu membangunkan kampung ini,” katanya.

Kampung Tol Cham Phlu merupakan kampung angkat Pusat Islam sejak beberapa tahun lalu yang menyaksikan banyak usaha yang ditelah di sumbangkan di situ. 

“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”

Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: Pusat Islam dan UUMIT
Sumber: UUM CORPORATE COMM.